Membaitkan kata-kata puitis , mencurah rasa bersarang dijiwa untuk diriku dan dirimu............

Isnin, 8 Ogos 2011

Kau Dihatiku 9


9

Thank you for everything, Alis.” Zackree mengucapkan terima kasih kepadaku setelah dia menghantar aku kembali ke taman bunga yang berhampiran dengan Village Corner itu.Aku hanya mengangguk.
            Mataku tertumpu kepada Damia yang tidur dibelakang tempat duduk belakang. Dari gerak gerinya, aku melihat nyenyak sekali Damia tidur persis puteri beradu yang menunggu puteranya sambil dipeluk erat teddy bear , hadiah yang aku berikan untuk birthdaynya hari ini.Mungkin Damia kepenatan kerana hampir seharian dia berkejaran ke sini dan ke sana.
            “ Oklah Alis aku harap kau dapat mempertimbangkan permintaan aku tu ya? Bye….Assalamualaikum.” Dengan kata-kata itu Zackree memboloskan dirinya masuk ke tempat pemanduan. Waalaikumussalam. Aku sekadar menjawab salam didalam hati.
            Seketika cuma , kereta yang dipandu Zackree meluncur pergi. Aku hanya memandang dengan keluhan kecil. Permintaan………….
            Langit ku lihat mendung… Jam dipergelangan tangan kukerling. Em…baru pukul 3.30petang. Awal lagi untuk aku segera pulang ke rumah. Lalu aku pergi mendapatkan kerusi batu yang ada di taman bunga yang berhampiran.Setelah itu aku duduk diatasnya. Didada langit aku renung semula. Awan mendung semakin lama semakin hitam.Bila-bila masa sahaja akan menuruni hujan. Angin jugak bertiup agak kencang ketika ini. Tetapi aku tetap di taman bunga ini tidak mahu pergi. Lama kurenung awan langit yang diselebungi awan hitam , tak semena-mena mataku tertarik ke arah sebatang pokok  dihadapanku yang tidak beberapa jauh dari tempatku duduk. Aku melihat sebiji belon bertali bentuk hati yang berwarna merah terliuk-liuk ke  kiri dan ke kanan ditiup angin dicelahan dahan yang bercabang pada pokok itu.
            Belon itu pastinya belon yang diberi Zackree kepada Damia tadi. Em…rasa-rasanya belon bertali yang lain pasti sudah terbang jauh ataupun pecah dan jatuh ke bawah.
            Aku memandang Damia yang asyik berlari berkejaran dengan riang  bersama-sama budak-budak yang turut bermain di playground yang memang dikhaskan untuk budak-budak bermain di restoren KFC ini. Berhadapan dengan tempat aku duduk ialah Zackree yang turut jugak melihat keleteh anaknya, Damia bermain.
Kek coklat yang  tertulis ‘selamat hari lahir yang ke-2 tahun, Damia’terhidang di atas meja kami. Kek coklat itu telah dipotong tadi oleh Damia dibantu Zackree dengan memegang tangan Damia sebagai pemandu arah. Aku hanya memandang aksi mesra dua beranak itu tanpa kata tadi.
“Em….Zack….pendapat apa yang awak nak mintak dari saya??” Aku mula bersuara bertanya kepada Zackree setelah hampir setengah jam kami tidak berbicara sepatah apa pun.Sebenarnya aku rimas dengan keadaan yang sunyi dan sepi sebegini. Lagipun aku tak rasa yang Zackree hanya nak aku menemani dia untuk menyambut hari lahir Damia semata-mata. Pasti ada maksud lain. Semalam telefon kata nak mintak pendapat aku…..
“Hah??” Zackree memandang ke arahku dengan reaksi yang tertanya-tanya. Macam orang bodoh la pulak aku tengok dia buat reaksi macam tu. Geram pun ada. Tapi sabar sajalah Alisya……
“ Semalam….awak call saya kata nak jumpa mintak pendapat saya kan???” Aku merenung ke dalam anak matanya untuk mendapatkan kepastian untuk soalanku itu. Zackree jugak membalas renunganku itu. Cepat-cepat aku mengalihkan pandanganku ke arah Damia semula. Cover line Tak sanggup aku ditenung Zackree dengan pandangan sebegitu.Pandangan yang bisa mengoyahkan hati. ‘Kus’ semangat.
“Oh….call…semalam…..actually aku……” Tergantung ayat yang diberikan oleh Zackree. Kedengaran dia mengeluh kecil. Aku mengalih memandang semula ke arahnya dengan membuat reaksi muka tanda tanya mahukan jawapan.
“ Alis….berat betul apa yang aku nak cakapkan. Kalau boleh aku tak mahu nak susahkan kau apatah lagi apa yang aku telah buat kepada kau dua tahun yang lepas……..” Zackree mengeluh lagi. Dia menundukkan kepalanya. Aku masih tekun mendengar.
“ Tapi percayalah ….Alis…semua yang berlaku dua tahun yang lepas tu bukan kehendak aku. Aku terpaksa dan merelakannya. Paksa rela.Semuanya demi family aku. Kau tahukan mak dengan ayah aku bekerja dekat rumah Datuk Asmadi sebagai pembantu rumah dan driver ………….” Aku mengangguk mengiakan. Memang betul ibu dan ayah Zackree bekerja sebagai pembantu rumah dan driver di rumah Datuk Asmadi. Zackree pernah menceritakan latar belakangnya kepadaku dulu semasa mula-mula kami berkenalan.
“ Atia…Atia bekas isteri aku tu adalah anak perempuan tunggal Datuk Asmadi dan Datin Ratifah….Aku kena berkahwin dengan Atia disebabkan , Atia dah mengandung dua bulan. Atia tak tahu yang dia mengandungkan anak siapa. Sebab dia dah tidur dengan ramai lelaki . Semua lelaki yang pernah tidur dengan dia tu , semuanya tak mahu mengaku anak yang Atia kandungkan.Jadi aku kena jadi pak sanggup. Untuk menutup malu keluarga Datuk Asmadi dan Datin Ratifah. Aku berada di dalam dilema masa tu Alis…Keluarga Datuk Asmadi sudah banyak menabur budi pada keluarga kami. Dari aku kecil sampai aku masuk ke universiti, Datuk Asmadilah yang membiayainya. Begitu jugak dengan tiga orang adik aku yang lain. Kalau tak kerana Datuk Asmadi sanggup mengambik mak dan ayah aku bekerja dan membiayai semua pendidikan kami adik beradik. Pasti aku tak jadi seperti aku sekarang ni dan pasti aku tidak mengenali kau Alis….Kalau kau berada di tempat aku pun antara cinta dan keluarga serta termakan budi mana yang kau akan pilih Alis??” Zackree berhenti lagi.
Aku terkesima mendengarkan penjelasan yang diberikan oleh Zackree. Aku merenungkan anak matanya ingin kepastian apa yang telah dia perjelaskan kepada aku tadi fakta atau auta. Tergenang mata Zackree ketika itu. Dan dia melarikan pandangan wajahnya daripada direnung oleh aku. Mungkin untuk menyembunyikan matanya yang bila-bila masa saja akan menumpahkan air mata .
 “ Kenapa selepas dua tahun baru Atia meminta cerai daripada awak Zack?? Tidak selepas dia melahirkan anaknya…..” Aku bertanya kepada Zackree. Ya lah baru sekarang Atia mintak cerai bukan dari dulu lagi.
“Opss…nanti…nanti…Kiranya Damia tu bukan anak awak dengan Atiakan??” Aku mula teringatkan sesuatu sebelum sempat Zackree bersuara. Zackree menggeleng.
“ Selepas kami berkahwin aku dengan Atia cuba untuk membina hidup baru… Anak yang dikandung oleh Atia telah keguguran setelah dua minggu kami berkahwin akibat rahimnya ketika itu lemah. Selepas  empat bulan , Atia disahkan mengandung lagi kali ini  anak aku dan Atia.Lagipun dia dah berjanji dengan aku tidak mahu menjadi macam dulu lagi. Aku pulak cuba memupuk perasaan cinta aku kepadanya. Aku cuba untuk melupakan cinta kita. Kiranya Damia tu memang anak aku dan Atia. Anak dari hubungan yang sah.Tapi ternyata semuanya tidak menjadi. Panas yang diharap sehingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Selepas genap setahun Damia lahir, Atia mula terjebak dengan hidup sosialnya dulu. Mula-mula aku buat tidak tahu sahaja. Tetapi lama kelamaan aku dah tahan lagi. Aku cuba untuk menasihatinya. Tetapi tidak diendahkannya. Malah dia mengungkit semua apa yang telah Datuk Asmadi berikan kepada aku sekeluarga Disebabkan itu aku menceraikan Atia dengan talak satu setelah banyak kali dia suruh aku menceraikannya kerana aku tidak tahan lagi dengan penghinaan yang dia lemparkan kepada aku dan keluarga aku. Setelah aku menceraikannya , Atia terus menghilangkan diri dan meninggalkan Damia sampai sekarang. Puas sudah aku dan Datuk Asmadi menjejaki Atia tetapi hampa! Damia terlalu merindui ibunya….”
Aku mengeluh kecil. Jadi semuanya  terjelas sudah. Rasa bersalah aku kepada Zackree mula timbul. Aku membencinya selama dua tahun tapi ternyata Zackree tidak bersalah. Zackree menjadi mangsa keadaan. Aku memandang Damia yang asyik bermain dengan riang. Sesekali Damia melambai ke arahku. Aku membalasnya. Kesian Damia, budak itu masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.
“ Jadi aku nak mintak pendapat serta keizinan kau kalau sudi bolehlah aku membawa Damia bertemu dengan kau setiap hujung minggu untuk melepaskan rindu kepada ibunya…Boleh tak Alis??” Zackree bersuara memecahkan kesunyian setelah agak lama jugak kami berdiam diri melayan perasaan masing-masing. Aku memandang ke arah Zackree entah yang ke berapa kali entah.
“ Kenapa saya….tidak orang lain Zack….??? Lagipun banyak lagi perempuan kat luar sana…..” Aku bertanya kepada Zackree. Zackree tidak pantas menjawab tetapi dia mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya. Sekeping gambar. Tetapi untuk apa?
“ Sebab….cuba kau teliti betul-betul perempuan di dalam gambar ni. Ni gambar Atia.” Zackree mengunjukkan gambar itu kepadaku. Aku mengambiknya dan meneliti gambar tersebut. Tetapi tiada kena mengena pun gambar ini dengan permintaan daripada Zackree tu. Tetapi aku memang tidak akan menyangkal lagi yang Atia memang cantik apabila melihatnya menerusi gambar yang dihulurkan oleh Zackree ini.Setiap lelaki yang memandangnya pasti akan cair.
“ Cuba kau teliti betul-betul Alis….muka kau dengan Atia nak iraskan….”Zackree yang seolah-olah faham dengan reaksiku bersuara. Aku meneliti sekali lagi. Ha’ah memang betul kalau dilihat betul-betul, muka aku dengan Atia ada sedikit iras-iras. Sebab inikah?
“ Jadi sebab inikah, awak pilih saya Zack?” Aku bertanya kepada Zackree. Gambar Atia aku pulangkan kembali. Zackree mengambiknya dan menyimpan di dalam kocek seluar semula.
“ Ya , Alis….Lagipun kau lihatkan tadi Damia begitu mesra dengan kau…Dengan neneknya pun, Datin Ratifah dia tidak semesra ini…walaupun baru hari ini dia melihat kau. Mungkin Damia melihat kau seolah-olah macam dia melihat  ibunya. Terubat sikit rindunya.”
            “ Awak tak rasakah yang kalau awak buat semua ini nanti , Damia akan tertipu?” Aku bertanya lagi dengan nada yang tidak puas hati dan masih samar-samar. Was-was pun ada.
            “Tertipu? Alis kau takut nanti Damia akan menganggap yang kau ni Atia?” Aku mengangguk dengan kata-kata yang baru diterbitkan oleh Zackree. Mata Zackree mencerlung memandang ke arahku. Selepas itu dia mengukirkan senyuman. Aku tidak mengerti . Apakah maksud senyumannya itu. Aku membisu.
            “ Kau jangan risau Alis. Walaupun Damia tu baru saja mencecah umur dua tahun hari ini, dia sudah pandai membezakan siapakah ibunya. Lagipun masa dia lihat kau dia tak panggil kau ibu kan??”Aku mengangguk lagi mengiakan kata-kata Zackree itu.Ya, Damia tidak memanggil aku dengan panggilan ibu.Itu sudah menunjukkan yang aku sama sekali tidak dianggap sebagai ibunya.
            “ Macam yang aku katakan tadi mungkin disebabkan oleh muka kau ada iras-iras Atia jadi Damia merasakan dia sudah bertemu ibunya Dan Aku lihat kau dan Damia begitu mesra sekali seolah-olah kau berdua ada ikatan kekeluargaan. Lagipun Damia ini bukan mudah nak mesra atau mendekati orang yang dia tak kenali.Tapi dengan kau……………..”
            Aku tersedar  daripada lamunan yang panjang apabila titisan air hujan mengenai wajahku. Aku memandang ke dada langit ,hujan ku lihat turun renyai-renyai. Tanpa berlengah lagi aku berlari mendapatkan kereta kancilku di tempat parking. Pendapat serta permintaan Zackree kutinggalkan ia dalam tanda tanya yang masih belum lagi aku memberikan jawapannya. Sepi.

  Kali ini aku pulang agak lewat ibu tidak pulak berkata apa-apa. Pagi tadi aku keluar pun ibu tidak menyoal dengan panjang lebar.  Tetapi tersenyum meleret.Pelik jugak aku dibuatnya. Ataupun ibu dah kering air liur dah nak bertanya itu dan ini kepadaku. Biarlah bagus jugak ibu tak tanya apa-apa tadi kalau tak aku nak kata apa, ibu ,Isya nak keluar dengan kawan. Nanti ditanya pulak kawan lelaki ataupun perempuan. Em……
            Sebaik saja aku sampai ke rumah, laju saja aku terus memasuki bilikku. Ibu yang berada di ruang tamu sambil menonton televisyen tidak pulak aku tegur. Malas aku mengacau mood ibu yang khusyuk menonton cerita kegemarannya itu. Belum sempat untuk aku menyalin baju yang terkena air hujan ini, aku terus mengeluarkan handphone di dalam handbagku untuk mengecasnya. Setelah itu aku mencapai tuala yang disidai di tepi bilik air  lalu cepat-cepat menyalin baju yang ku pakai , takut nanti tak pasal-pasal pulak dijangkiti selsema. Siapa yang susah? Aku jugak…..
            Hampir lima belas minit aku didalam bilik air, aku keluar dengan badan yang menggigil kesejukkan. Al-maklumlah diluar sana kan  hujan tengah  lebat. Airnya pun telah berubah suhunya. Rambut yang basah aku keringkan dengan tuala yang berasingan. Lalu aku pergi ke arah meja solek. Alangkah terkejutnya aku apabila aku melihat sejambak mawar putih berada di atas meja solekku.
            Lantas tanpa berfikir dengan lebih panjang lagi aku mengambik bunga mawar putih itu dan menuruni tangga. Pergi mendapatkan ibu yang ketika itu masih khusyuk lagi menonton cerita kegemarannya itu.
            “ Ibu!” Aku memanggil ibu dengan nada yang kalut. Ibu yang memandang ke arah kaca televisyen serta merta memandang ke arahku dengan dahi yang berkerut. Aku tidak tahu apa yang bermain diminda ibu waktu sekarang ini. Yang pasti aku telah mematikan mood ibu yang khusyuk dengan ceritanya itu.
            “ Ada apa Isya?” Ibu bertanya hairan kepadaku. Dahinya masih berkerut. Selepas itu aku mendengar ibu berdehem beberapa kali kepadaku sambil matanya meliar memandangku ke atas  dan ke bawah.  Alamak, aku telupa yang sekarang ini aku hanya berkemban dengan tuala. Maklumlah tadi kan aku baru saja lepas mandi. Belum sempat untuk menyarungkan baju, aku ternampak bunga mawar putih yang sekarang iniku pegang, terus aku turun mendapatkan ibu. Kini baru aku mengerti isyarat yang diberikan ibu kepadaku.
            “ Maaf bu…..panik campur nak tahu sangat sampai baju pun Isya tak sempat nak pakai.” Aku berkata kepada ibu dengan senyuman yang meleret dibibir. Senyum kambing la katakan ! Ibu kulihat tidak terkesan dengan kata-kataku. Dahinya masih berkerut seribu. Aduh, naik gelabah aku dibuatnya dengan reaksi yang dibuat oleh ibu sampaikan tuala yang ku pakai hampir terlurut dari tubuh. Fuh, nasib baik sempat kawal , kalau tak ibu dapat lihat tayangan free yang amat memalukan.Hahaha….
            “ Ha takut macam adegan tadi tu yang ibu tak berkenan sangat Isya berkemban macam ni. Nasib baik sempat kawal kalau tak…..Ibu tak sanggup nak menengoknya. Apa-apa hal tu pakai la baju dulu. Ada hal mustahak apa yang Isya nak tanya kat ibu ni ?” Ibu berkata dan bertanya kiranya dua dalam satu sambil senyum meleret.  Aku seperti tadi masih tersenyum kambing.
            “ Tak , bu ….Isya nak tanya kenapa bunga mawar putih ni ada kat dalam bilik Isya….Pelik la bu tak pernah-pernah Isya dapat bunga dekat rumah ni …tup,tup hari ni dapat. Kalau nak kata hari ni birthday Isya lambatlah lagi. Kalau nak kata Isya dapat naik pangkat, tuan empunya diri pun tak tahu lagi kerana keputusannya tak keluar lagi….tapi bunga ni untuk apa??? Ibu bagi ya.” Aku berkata untuk menjawab persoalan yang ditanya oleh ibu tadi.
            “ Hish…kamu ni Isya ada ke pulak ibu yang bagi. Buang tabiat apa kalau ibu nak bagi bunga dekat Isya. Bukannya Isya tak tahu yang ibu ni mana pernah sekali pun hadiahkan Isya bunga……” Ibu cepat-cepat menyangkal andaianku itu.
            “ Tak pernah ke bu??? Habis tu siapa yang beli bunga mawar putih dekat Isya masa konvokesyen Isya hari tu. Takkan klon ibu kot………….” Aku berkata kepada ibu dengan nada mengusik. Saja la kan ibu kan kata tak pernah pun bagi bunga dekat aku. Jadi aku nak mendugalah ingatan ibu ni. Faham-faham sajalah kalau umur seseorang tu dah meningkat. Ha kadang-kadang dah lupa dah sebahagian apa yang dibuatnya dulu. Tak terkecuali ibu aku yang seorang ini.
            “ Ada ke???” Ibu bertanya kepadaku sambil digarunya kepala yang tidak gatal. Ibu memandang ke arahku mahukan penjelasan. Aku buat don’t know saja. Selepas itu aku melihat ibu menepuk dahinya.
            “ Ha’ah la ada sekali masa konvokesyen kamu tu. Ibu lupala….Mintak maaflah ya…tapi bunga tu tadi ada florist datang. Isya dah tiada dekat rumah, jadi ibu signlah bagi pihak Isya. Lepas tu terus ibu letak dalam bilik Isya. Kalau tanya pasal pengirimnya tu memang ibu tak tahu langsung sebab ibu tak membelek pun bunga tu……” Aku hanya mengangguk-angguk tanda mengerti dengan kata-kata ibu. Tapi pelik jugaklah sebab ibu pun macam buat tak ada apa bila aku dapat bunga mawar putih ni. Selalunya kalau aku dapat hadiahkan sibuk saja ibu bertanya dari siapa. Lelaki ke perempuan, friend, bestfriend  or boyfriend. Malah tiada riak wajah tertanya-tanya pada ibu kulihat. Semuanya seperti biasa-biasa sahaja. Atau memang ibu dah malas untuk mengambil tahu hal aku lagi  terutama sekali mengenai bilalah aku nak kahwin ni!
            “ Kalau macam tu tak pa lah ibu….Isya naik atas dulu…terima kasih……” Ibu mengangguk. Lantas pandangannya terarah kembali pada kaca televisyen. Aku mendaki anak-anak tangga menuju ke dalam bilik semula sambil kupegang bunga mawar putih tersebut.
            Di dalam bilik, aku memerhati bunga mawar putih yang kupegang agak lama. Aku cuba berfikir siapakah gerangan yang memberikan bunga mawar putih ini kepadaku. Penunggu Hatimu ???Tiba-tiba sahaja tercetus keluar nama itu. Mataku terkelip-kelip beberapa kali. Lantas laju sahaja tangan ini membelek-belek di setiap kuntum bunga mawar putih tersebut
            Dalam mencari-cari itu aku terpandangkan sesuatu yang kecil. Ya, kad. Saiz yang sama seperti mula-mula aku diberi bunga mawar putih. Sebesar kad pengenalan.

 Kepada………
            Insan yang telah membius hatiku…
Bukalah sedikit jendela hatimu untuku……..
Agar bisa aku mengintai hatimu itu…
 Biarpun sedikit….cuma
                                                Yang sebenar-benarnya,
                                                Penunggu Hatimu

            Aku menjadi terkedu apabila membaca apa yang tertulis pada kad tersebut. Memang tidak syak lagi Penunggu Hatimu adalah orangnya. Tetapi bagaimana dan di mana dia mendapat alamat rumahku ini??? Aku yakin dan teramatlah yakin yang dia pasti seseorang yang aku kenal. Kalau tidak masakkan dia tahu aku tinggal di sini. Tetapi siapakah dia???
            Malas aku berfikir lama lagi, kad tersebut aku renyuk. Lalu aku baling masuk ke dalam bakul sampah yang berada di balik pintu. Plukkk….tepat-tepat masuk ke sasarannya.Bunga mawar putih ya bunga mawar putih ini apa perlu aku buat. Kalau dekat pejabat bolehlah aku bagi dekat Mas tapi dekat rumah pulak………Nak buang sayang la pulak….kesian la orang tu dah beli penat-penat pakai duit bukannya daun  alih-alih aku buang dalam tong sampah. Kan kecik hati dia nanti. Hah, macam lah dia tahu kalau hadiahnya aku buang dalam tong sampah sekalipun. Orangnya pun aku tak kenal, jumpa jauh sekali. Tiba-tiba hati kecikku yang satu lagi berdetak. Seolah-olah tidak menyokong kata hatiku yang berbelas kasihan itu.
            Macam mana nak buat ni??? Buang atau simpan??? Aku berfikir dan berkira-kira apa yang aku perlu lakukan dengan mawar putih ini. Dalam berfikir-fikir itu mata ku terpandangkan pasu bunga hiasan  yang sederhana besar , kosong di sebelah katilku. Lantas aku mendapat idea.
            “Ha’ah kan cantik….”aku mengomel sendirian apabila terpandangkan bunga mawar putih yang baru saja aku letakkan di dalam pasu bunga hiasan tersebut. Terasa bilikku tiba-tiba ternampak serinya.
            Setelah berpuas hati, aku terus menuju ke arah almari  pakaian apabila terasa diri ini sudah terlalu lama berkemban hanya dengan tuala. Berseluar track suit serta bert-shirt lengan pendek aku menuju ke arah handphoneku yang dicas setelah rambutku disikat dengan rapi.
            Suiz yang aku guna untuk mengecas telefon telah kututup apabila,handphoneku benar-benar telah penuh baterinya, lalu aku mencabut penyambung wayar cas telefon dari handphoneku dan aku menekan punat on padanya.Sebaik sahaja skrin wallpaper terpampang, bertalu-talu bunyi isyarat mesej masuk.
            Satu persatu aku membuka mesej yang di terima itu.Diantaranya terdiri daripada Maxis, Zackree , Mas dan Fariz. Tetapi hatiku lebih tertarik kepada mesej yang dihantar Fariz kepadaku.
Assalamualaikum…sori, Isya psl pg td sy btul2 ada hal pentng. Kita jmpa lg lusa dtmpt yg sma kta jmpa pg td…pkl 1.00,wktu rht. Bleh???Kalu bleh Isya blslah msj sy nie…
            Aku mengeluh kecil. Perlukah aku terima ajakkannya itu sekali lagi? Macam mana kalau perjumpaan aku kali ini sama dengan perjumpaan aku dengan Fariz seperti sebelumnya….Belum sempat untuk kami berbual panjang, Fariz pergi meninggalkan aku kerana urusannya. Apalah pekerjaan Fariz itu sehingga ada saja hal penting yang perlu diuruskan??
Waalaikumussalam………..bleh, kita jmpa dsna…
            Cepat sahaja jari jemariku menaip satu persatu perkataan dan terus menghantarnya. Entah aku pun tidak tahu kenapa senang saja aku membuat keputusan tanpa berfikir dengan lebih panjang lagi. Tapi apa yang pasti jauh dilubuk hatiku yang menyuruh untuk menerima lagi pelawaan Fariz kepadaku walaupun aku mungkin tahu perjumpaan kami akan menjadi singkat lagi. Mungkin!
           
           


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Powered By Blogger