Membaitkan kata-kata puitis , mencurah rasa bersarang dijiwa untuk diriku dan dirimu............

Khamis, 4 Ogos 2011

Kau Dihatiku 2


2


Memang tepat sangkaanku,ibu bimbang aku pulang lewat ke rumah. Mana taknya hendak membayar bil air dan elektrik di bank pun mengambil masa yang lama. Lagipun jarak antara bank tersebut dari rumah aku bukannya jauh sangat pun. Empat kilometer saja pun.
            Ibu kulihat masih mundar mandir diruang tamu.Mungkin ibu tidak sedar aku sudah pun pulang. Aku menjadi serba salah. Terlintas difikiranku alasan apa yang terbaik untuk aku beritahu ibu jika dia bertanya nanti. Takkan aku nak ceritakan yang aku terlambat kerana Zackree secara tiba-tiba datang kepadaku dan merayu-rayu untuk aku menerimanya kembali. Tidak mungkin! Aku tidak mahu ibu bimbang lagi. Tak boleh…tak boleh…sambil kepalaku digeleng-gelengkan.
            “ Ha, Isya kau dah pulang. Baguslah.” Ibu bersuara separuh menjerit apabila ternampak kelibatku di depan pintu masuk rumah. Ibu lantas mendapatkan aku.
            “Ya, bu”
            “Hai, ke mana Isya pergi, lambat pulang? Risau betul ibu kat rumah ni. Takut-takut sesuatu terjadi dekat Isya. Isya tu kan perempuan. Anak dara!” Ibu mula mengajukan  soalan-soalan yang selalu jugak aku ditanyanya apabila pulang lewat ke rumah dengan dahi yang berkerut.
 Aku mula diserbu serba salah. Bukannya apa kalau dulu aku pulang lewat kerana menyiapkan tugas-tugas pejabat yang tak siap dan itu sememangnya alasan yang kukuh dimana ibu mengertinya tapi sekarang aku pulang lewat kerana Zackree. Ya, Zackree….seorang lelaki yang kalau boleh aku tak mahu langsung mengingati tentang dirinya..Cukup-cukup la yang dah berlalu antara aku dan dia. Biarlah kisah aku dan Zackree menjadi kenangan pahit yang tidak mahu aku kenangi lagi. Tetapi betulkah aku tidak mahu mengenangnya kembali? Lelaki pertama, cinta pertama dan perpisahan pertama……Ah mana mungkin. Aku mengeluh didalam hati.
“ Ibu….kita duduk dulu…” Setelah agak lama aku berdiam, aku mula bertoleransi dengan ibu.Ibu mengangguk tanda setuju dengan sarananku. Kami berjalan beriringan menuju ke sofa yang berada diruang tamu.  Aku menghenyakkan tubuh ini ke sofa dan menarik nafas berkali-kali sebelum aku mula membuka bicara.
“ Tadi masa Isya pergi bank , Isya terserempak dengan kawan lama Isya. Dah lama tak jumpa bu, jadi kami bersembang macam-macam perkara….dari kami lepas konvokesyen sampai sekarang ni kami dah memiliki kerjaya masing-masing. Maklum lah bu, lepas ja terima sijil masing-masing dah bawa haluan sendiri.”
            Aku lihat ibu hanya mengangguk-angguk kepalanya mengiakan apa yang aku terangkan kepadanya. Matanya tidak lepas memandang ke arahku yang rancak bercerita.
            “ Masa nak pulang pulak jalan jam . Ibu bukan tak tahu jalan kat sini” Aku menyambung ceritaku kembali apabila aku lihat riak positif dari ibu dengan alasanku ini. Aku tahu, aku telah berbohong pasal terserempak kawan lama. Tetapi aku tiada pilihan. Jawapan inilah yang paling tepat dan boleh ku fikir ketika ini bagi menghilangkan rasa bimbang dihati ibu.
            “ Kenapa tak telefon ibu tadi, beritahu?”
            “ Bateri handphone Isya dah habis la bu! Ibu lihat ni….” Aku menjawab sambilku tunjukkan ibu handphoneku yang telah kehabisan bateri. Ibu melihat sambil terukir senyuman dibibirnya.
            “Em, tak apalah Isya. Isya pergilah mandi dan solat Asar dulu. Ibu dah siapkan minum petang. Nanti kita makan sama-sama…..”
            “ Minum petang ke bu? Ibu masak apa hari ni?” Aku bertanya tidak sabar. Memotong kata-kata ibu. Terlintas difikiranku masakan yang ibu masak. Sedap! Terliur aku dibuatnya. Tambah-tambah lagi kalau ibu masak makanan kegemaranku, dua pinggan pun belum tentu cukup bagiku.
            “ Alah, makanan kegemaran Isya lah . Apa tu kuih doraemon dan mee goreng....” Ibu berkata sambil dia mengangkat keningnya. Aku menjadi teruja. Nampaknya minum petang kali ini ibu memasak makanan kegemaranku. Ni yang membuatkan aku tidak boleh tunggu lama ni….. Justeru itu, aku meminta kebenaran ibu untuk naik ke atas dan mandi………
‘Ibu hanya menggeleng kepala dan tersenyum melihat tingkah laku ku yang seperti kebudak-budakkan. Entah umur dah nak masuk dua puluh lima pun masih kebudak-budakkan lagi. Aku tidak peduli yang pasti kuih doreamon dan mee goreng sedang tunggu aku untuk mereka sedekahkan diri mereka untuk dijamah olehku.


“Em…sedapnya bu……” Aku memuji masakkan ibu sambil mulutku mengunyah kuih doraemon. Sebentar tadi baruku selesai menjamah mee goreng. Dua pinggan licin. Kenapa tak percaya? Jangan ingat badanku kurus macam ni tak kuat makan. Ni juara makan sedunia ni. Siapa yang berani lawan denganku?Tiada sesiapa yang berani challenge aku tau! Hehehe……acah ja.
 Sekarang tibalah pulak giliran kuih doraemon… Mesti kau orang tertanya-tanya apa tu kuih doraemon. Alah kuih yang sambal ikan bilis dengan timun tu. Atau lebih dikenali dengan nama burger mini. Tapi aku tak panggil nama burger mini tapi kuih doraemon sebab kuih tu sebijik hehehe…bukanlah sebijik  sangat pun dengan kuih yang doraemon suka makan…dorayaki….Em…nasiblah kau si kuih doeramon dengan mee goreng menjadi mangsaku. Yumm…yummy….Ibu hanya tersenyum geli hati melihat telatahku.
“ Hai , ibu tak tahulah nak jadi apa anak ibu seorang ni ? Kuat Makan. Gelojoh pulak tu!” Ibu menyindir dengan tingkah lakuku. Hampir tersembur kuih doraemon yang berada di dalam mulutku mendengar ibu berkata begitu. Geli hati!
“ Ha, tengok tu….patutlah kamu sampai sekarang tak kahwin lagi. Dengan tabiat kamu macam ni, lelaki mana yang sudi dekat dengan kamu Isya. Nampak gayanya jadi anak dara tualah anak ibu seorang ni!”
“ Ke situ pulak ibu ni! Kalau dah sampai jodoh Isya…tak cari pun …kahwin jugak…Lagipun depan lelaki Isya control ayu la. Dekat rumah ja ibu tengok Isya macam ni. Dekat luar pandai-pandai la Isya kawal diri ni…hehehe”  Ibu tersenyum lagi mendengar kata-kataku itu.
“ Ya la tu…..jodoh takkan sampai kalau tak berusaha…..” Ibu mula membuka topiknya… Topik yang bisa memanaskan telinga jika mendengarnya. Mana tak nya lagi-lagi pasal jodoh… Dah bernanah telinga ni asyik kena soal soalan pasal jodoh saja. Bila nak bawak calon menantu kat rumah? Bila nak menamatkan zaman gadis? Bila nak merasa menimang cucu? Bila dan bila…….Aduh pening-pening
“ Bu…sedapnya  kuih ni….. Ibu tak rasa nak jual ke kuih-muih buatan ibu ni… Pasti laris punya.. Kuih muih Jenab makan sekali pasti mau lagi…..” Aku cuba menarik perhatian ibu dari mengutarakan soalan mengenai jodohku itu dengan membuat gimik lucu .Kalau biar ibu teruskan soalan-soalannya itu maka sampai kesudahnya apa kerja pun tak jadi. Kalau ikutkan tiga hari tiga malam pun tak habis lagi soalan memgenai jodoh…jodoh…jodoh…ni.
“ Ke situ pulak kamu ni Isya……hai…” Ibu menggeleng-geleng kepalanya tanda dia dah mati akal untuk bertanya kepadaku mengenai jodoh apabila aku tidak ambil peduli mengenai soalan itu. Endah tak endah ja….
“ Hehehe….sorry bu……” Aku berkata sambil mulutku penuh mengunyah kuih doraemon.


Malam itu aku mengingati kembali perkara yang berlaku siang tadi. Zackree datang kepadaku kerana ingin menyambung kasih kami yang putus ditengah jalan. Tetapi bagaimana dia tahu aku pergi ke bank hari ni? Takkanlah selama ini dia mengintip gerak geriku? Ah . mungkin kebetulan saja kot!
            Walau macam mana sekalipun Zackree memujuk rayuku, cinta ini bukan miliknya lagi.Cukuplah dulu dia telah melukakan hati ini. Aku tidak mahu terluka lagi. Tambah-tambah lagi dengan orang seperti Zackre.Lembut gigi dari lidah.
            “ Alis……aku rasa baik kita putuskan saja hubungan kita!” Aku terkejut bukan kepalang dengan kata-kata Zackree sebentar tadi. Aku tidak sangka Zackree mengajak aku ke Port Dickson rupa-rupaya ada agenda lain yang tersembunyi tanpa pengetahuanku. Biar betul! Aku ingat percutian kami ke sini adalah untuk menyambut hari ulang tahunku yang jatuh pada hari ini. Masihku ingat lagi detik-detik manis dan kejutan yang diberikan oleh Zackree kepadaku siang tadi sempena menyambut hari ulang tahun kelahiranku, Kiranya siang tadi ingin sekali aku abadikan memori terindah dalam hidup ini. Tapi kini rupanya ada lagi kejutan yang lebih hebat lagi dari siang tadi. Tak kusangka. Memori terindah itu akan bertukar menjadi memori terluka,
            Angin pantai menampar-nampar mukaku lembut. Nampaknya malam ini orang tidak ramai di pantai ini. Aku menjadi sedikit gelisah dengan kata-kata yang baru diucapkan oleh Zackree sebentar tadi. Putuskan hubungan………
            “ Tapi kenapa?” Aku bertanya untuk meminta kepastian. Ku tenung mata Zackree dengan pandangan yang tidak mengerti. Tetapi dia hanya menundukkan kepalanya. Mungkin dia berasa serba salah dengan renungan mataku. Angin pantai yang bertiup perlahan kini bertiup kencang dan kesejukkannya menyusuk ke tulang sumsumku tidak kupedulikan.
            “ Sebab setelah sekian lama kita bersama dan mengenali hati masing-masing..Baru aku sedari yang aku tidak cinta kepadamu Alis. Mungkin selama ini perasaan aku bukannya cinta tapi lebih kepada sayang. Sayang kepada seorang teman….Ya teman tapi mesra!” Aku sekali lagi terkejut dengan kata-kata Zackree. Kalaulah aku menghidap sakit jantung tentu dah lama aku mati disitu jugak. Mati terkejut!
            Justeru itu aku cuba sedaya upaya menenangkan diri ini supaya tidak menerima bulat-bulat kata-kata Zackree sebentar tadi. Aku harus bertenang dan mendengar dahulu penjelasan darinya. Mungkin kata-kata ini hanya satu senda gurauan yang sengaja diadakan untuk menguji sejauh mana kasih sayangku kepada dirinya. Sejauh mana reaksiku bila aku menerima berita ini. Mungkin! Jadi Isya…..bertenang…bertenang jangan cepat melatah kelak nanti dirimu sendiri yang padah.
            “ Apa yang kau cakap ni Zack? Jangan nak buat lawak pulak time-time macam ni!”
            “ Aku tak buat lawak Alis. Aku memang betul-betul ingin putuskan hubungan kita!” Kali ini aku mendengar Zackree berkata tegas. Suaranya sengaja ditekankan bagi menyatakan pendiriannya yang tak mungkin berubah dan ini bukan satu senda gurauan yang dibuat-buat.
            Kini aku benar-benar mengerti yang Zackree sememangnya ingin memutuskan hubungan denganku. Aku harus menerima hakikatnya. Hakikat yang pahit untuk ditelan. Tapi ada satu perkara yang masih aku tidak berpuas hati. Mengapa Zackree ingin memutuskan hubungan yang selama ini kami bina bersama?Apa salahnya aku? Mudahnya kini dia mengatakan kami hanya teman tapi mesra. Setelah dua tahun kami mengenali diri ini masing-masing. Kemesraannya, percakapannya dan kelakuannya yang aku rasakan semua ini hanya dilakukan dan dilafazkan oleh orang bercinta. Atau selama ini aku yang perasaan sendiri. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Orang tak hingin kita terhegeh-hegeh.
            “ Habis, selama ini kita berkawan kau anggap aku sebagai apa? Mudahnya dulu kau kata cinta kepadaku. I love you…..saya cinta kepadamu ….kaulah pengarang jantung hati ini. Konon. Dan setelah aku menyemai cinta tersebut, alih-alih hari ni kau putuskan. Kata kau ini bukan cinta tapi sayang terhadap teman tapi mesra. Cakap Zackree cakap!” Aku sudah mula hilang sabar. Kali ini renungan mataku seperti harimau yang ingin menerkam mangsanya. Entah di mana aku mendapat kekuatan seperti itu.
            “ Pengubat dikala sepi……” Tiba-tiba datang seorang wanita yang kulihat agak cantik orangnya bercakap bagi pihak Zackree.Aku menjadi tidak mengerti dengan situasi sekarang ini. Siapa pulak wanita yang tiba-tiba datang mencelah diantara aku dan Zackree? Kepalaku menjadi pening tiba-tiba. Pening dengan situasi yang rumit ini.
            “ Awak siapa?”
            Ku lihat wanita tersebut hanya tersengih memandangku. Dia dengan tiba-tiba mendapatkan Zackree dan memeluk erat lengannya. Manja, Aku menjadi terpana seketika. Selama kami berkawan tidak pernah langsung aku berani-berani memeluk lengannya sebegitu. Tetapi wanita yang baru muncul dengan tiba-tiba bukan main mesra lagi malah dipeluknya lengan Zackree dengan erat. Seolah-olah wanita itu sudah lama mengenali Zackree lebih daripada aku mengenali Zackree.
            Zackree pulak kulihat tidak menepis atau mengelak wanita itu memegang lengannya malah dia kulihat seolah-olah merelakan diperlakukan begitu.
            “ Saya tunang dia!”
            “Apa?” Aku berkata terkejut.
            “ Saya tunang Zackree! Kami akan berkahwin tak lama lagi.” Wanita itu mengulangi sekali lagi kata-katanya disusuli pulak dengan perihal untuk berkahwin..
            “ Tunang?Kahwin?” Aku berkata sambil memandang kearah Zackree. Zackree kulihat hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Maknanya apa yang ku dengari dari wanita itu semuanya benar tidak syak lagi dan bukannya kata-kata kosong yang diungkapkan.
            Betapa tersayatnya hatiku apabila aku tahu kenyataan ini.Aku tidak boleh menunggu lagi. Kulihat wanita itu hanya tersenyum sinis kepadaku. Dan Zackree menundukkan kepalanya. Aku tidak tahu kenapa Zackree perlu menundukkan kepalanya. Berasa bersalahkah dia kepadaku sehingga wajahku tidak lagi dipandangnya?
            Hujan turun renyai-renyai ketika ini, seolah-olah menangis keadaanku. Menangis kerana aku telah diperbodohkan oleh insan yang bernama lelaki. Dan bersama-sama hujan yang turun itu air mataku turut mengalir hangat dipipi.
            “Alis…………..” Aku mendengar Zackree memanggil namaku, tetapi aku tidak mempedulikannya. Aku mahu lari. Lari dan terus berlari dari bertemu lagi dengan lelaki yang bernama Zackree,


Tuk,tuk,tuk,,,,pintu bilikku diketuk dari luar. Serentak itu kenangan pahitku berlalu pergi. Air mata yang berada dipipi. Kukesat dengan jari jemariku. Aku tidak mahu sesiapa pun yang nampak aku menangis. Lebih-lebih lagi aku menangis kerana mengingatkan saat-saat aku berpisah dengan Zackree. Perpisahan yang menyakitkan.
            “ Isya…Isya dah tidur ke?” Aku mendengar suara ibu diluar bilikku. Aku tidak menyahut kata-kata ibu. Aku tidak mahu ibu melihat aku menangis. Nanti apa pulak kata ibu dan disoalnya aku dengan pelbagai soalan. Biarlah ibu fikir aku sudah tidur.
            Mungkin kerana tidak mendengar suaraku menyahut, ibu berlalu pergi. Aku merasa lega walaupun ada perasaan bersalah dalam hatiku. Mana tidaknya sudah dua kali aku berbohong kepada ibu.
            “Ibu maafkan Isya!” Ungkapan maaf itu hanya bergema dalam sanubari ini. Tidakku mampu meluahkan dengan kata-kata. Dan malam ini aku menangis semahu-mahunya apabila lembaran luka selama dua tahun ini kuselak kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Powered By Blogger